Baru beberapa bulan ini saya menyedari bahawa cara pemakanan seseorang itu amat mempengaruhi kehidupannya. Bukan saya tidak tahu perkara ini sebelum ini namun pada kali ini rasa itu lebih mendalam. Lebih terkesan dan prihatin terhadap isu ini. Perkara ini tidak boleh dipandang sebelah mata oleh sesiapa sahaja. Ibu bapa, mereka terutamanya perlu peka terhadap perkara ini!
Dalam membina sebuah ummah yang kuat dan berjaya, pemakanan juga satu faktor yang perlu dititik beratkan. Sekiranya perkara ini diabaikan dan dipandang secara lewa, satu generasi yang lembik dan lemah akan dilahirkan. Mereka bukan sahaja lemah namun menunggu masa sahaja untuk mendapat pelbagai penyakit. Jangankan seruan jihad, seruan azan juga barangkali generasi ini tidak mampu untuk menyahut.
Sehubungan dengan itu, hati saya agak tersentuh kebelakangan ini. Bukan sahaja hati seorang guru namun yang lebih membuatkan saya sayu ialah hati seorang insan yang bakal bergelar seorang bapa suatu hari nanti,Insyaallah. Apakah perasaan anda apabila melihat anak-anak menyuap makanan yang tidak berkhasiat ke dalam mulut mereka? Dan dalam masa yang sama kita tahu dan yakin bahawa makanan tersebut akan membawa kesan yang buruk kepada dirinya. Sedih bukan?
Pada hari pertama persekolah, air teh yang disediakan terlalu manis. Hari kedua, perkara ini terus mengahantui saya bahkan satu lagi mimpi buruk datang menjenguk. Mee goreng pula yang terlalu berminyak! Jika kita belajar, minyak dan gula yang diambil secara berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, obesity dan pelbagai lagi. Aduh..Sayunya hati saya..
Sedari kecil lagi pemakanan anak sudah sebegitu. Jangan pelik jika menjejak usia 20-an sudah ada pelbagai penyakit. Kerana apa? Semasa si manja itu masih kecil,kita sudah membiarkan pelbagai makanan masuk kedalam badan dia tanpa mendapat pemantauan yang rapi dari kita.
Semalam, saya ada dengar kuliah. Ustaz Zahazan yang mengisi malam itu. Seorang ayah kepada ulama agung dulu,tidak benarkan sama sekali makanan syubhah masuk ke dalam badan anaknya. Pernah dia menjolok mulut anaknya untuk memuntahkan kembali susu yang bukan dari badan ibunya. Kagum bukan dengan kesungguhan beliau? Lahirlah ulama agung pada zaman itu. :)
Saya pernah meluahkan kerisauan ini kepada seorang yang rapat dengan saya. Saya cakap, pastikan nanti anak-anak mendapat makanan yang terbaik. Bawa bekal ke sekolah. Makan makanan dari air tangan seorang ibu. Lebih berkat bukan? Memang susah untuk dipraktikkan dalam dunia sekarang dimana ibu bapa sangat sibuk. Namun, engkau nak sesuatu yang hebat bukan? Engkau perlu berkorban. Engkau perlu korbankan sedikit masa,tenaga untuk anak engkau.
Pihak sekolah pun perlu peka dengan perkara ini. Sediakanlah makanan yang terbaik untuk anak-anak di bawah didikan kita. Nampakkan usaha kita. Berikan yang terbaik demi mendapat hasil yang terbaik. Kita ingin bina generasi yang terbaik bukan? Kita ingin melahirkan anak-anak yang mampu mendokong islam suatu hari nanti. Pemimpin-pemimpin kepada ummat islam bahkan ummat manusia di seluruh alam. Itu misi kita!
Ini luahan hati saya. Tiada paksaan atau suruhan. Sekadar luahan yang ingin saya sampaikan untuk anda fikirkan..
Muhammad Arieffahmi
8 Januari 2012
No comments:
Post a Comment